Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 Bacaan Kali Yang Kedua pada Tarikh 16/10/2019
Video here
Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan pembentangan Bajet 2020 dengan tema “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke arah Kemakmuran Bersama”. Ini mengorak langkah terhadap matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu menyediakan taraf hidup yang wajar atau dalam bahasa Inggeris decent standard of living kepada semua rakyat Malaysia menjelang tahun 2030. Angka-angka pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan suku kedua 2019 iaitu 4.9%, inflasi pada 0.2% dalam separuh pertama 2019 dan kadar inflasi dijangka pada 0.9% untuk tahun 2019.
Tuan Yang di-Pertua, saya mewakili dari kawasan Bukit Bendera dan ingin membicarakan tentang Pulau Pinang. Negeri Pulau Pinang mempunyai dua enjin pertumbuhan yang penting iaitu dari segi perindustrian ataupun pembuatan dan juga pelancongan. Saya mengalu-alukan pengumuman Bajet bahawa kerangka insentif pelaburan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan serta pakej galakan istimewa dan insentif di bawah Akta Cukai Pendapatan akan dirombak dan siap pada tahun 2021. Industri pembuatan di Pulau Pinang ataupun mendapat mana silicon valley of the east, mendapat suntikan baru untuk mengambil peluang yang ada pada Industri Revolution 4.0 serta peluang baru di bawah perang dagang antara US juga negara China.
Insentif-insentif pelaburan serta usaha baru pelaburan perlu dilipatgandakan untuk memperkukuhkan ekosistem pelaburan di Pulau Pinang. Di samping itu dalam pengumuman bajet ini terdapat empat pengumuman bajet yang merangkumi pengecualian cukai pendapatan sehingga 10 tahun untuk syarikat E&E, Electrical and Electronic yang dan juga elaun cukai pelaburan khas, elaun modal dipercepatkan, elaun modal kelengkapan automasi akan merancak pertumbuhan industri elektronik dan juga electrical, E& E ke ekonomi digital berasaskan 5G dan juga industrial 4.0. Tuan Yang di-Pertua, ini akan meningkatkan daya saing Pulau Pinang dan menjamin pekerjaan kepada puluhan, ribuan pekerja bergaji tinggi dan ini juga akan menyara keluarga mereka supaya mereka dapat satu seperti yang sebut dalam wawasan kita, decent standard of living seperti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Di samping itu, ini juga dilengkapkan dengan penambahbaikan melalui perundangan perburuhan yang telah diluluskan oleh Parlimen ini dan juga akan diusahakan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk menjaga hak-hak pekerja dan kuasa rundingan antara majikan dan pekerja.Saya rasa sebarang penambahbaikan terhadap Akta Pekerja ini ialah secara dasar. Tapi secara praktikalnya Kementerian Sumber Manusia boleh apabila terdapat isu-isu pemberhentian pekerja, mereka boleh menggunakan berbagai saluran untuk membantu pekerja-pekerja yang terlibat sama ada untuk berunding dengan majikan ataupun memperkenalkan jawatan-jawatan kosong yang ada dalam pasaran. Saya rasa ini perlu dilakukan melalui kementerian dan sementara sebarang penambahbaikan di peringkat akta ialah peringkat dasar sahaja. In practical kita perlu, saya setuju dengan Yang Berhormat Lembah Pantai perlu memberikan, hulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.
Tuan Yang di-Pertua saya turut mengalu-alukan pengumuman dalam bajet ini tentang pelan membina ekonomi digital dengan pelbagai dimensi, dengan juga berbagai pengumuman. Antara lain seperti Geran Pembangunan Ekosistem 5G, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), Geran Perdana Automasi Pintar dan juga Rangsangan Digital ke akaun E-Wallet kita. Ini akan melabur dari segi sumber manusia supaya boleh kita jump start dalam bahasa Inggeris untuk ekonomi digital.
Saya juga mengalu-alukan peruntukan RM11 juta dalam bajet ini untuk menggalakkan lebih ramai belajar ke bidang sains teknologi engineering dan juga matematik dan ini akan menyediakan mereka ke alam pekerjaan dan juga kepada ekonomi digital yang bakal kita hadapi pada masa akan datang.
Tuan Yang di-Pertua, selain itu, selain daripada sektor pembuatan, di Pulau Pinang ini juga terdapat satu sektor yang amat penting iaitu sektor pelancongan dan saya mengalu-alukan pengumuman bahawa 50% hasil cukai pelancongan yang dikutip oleh kerajaan persekutuan akan dikembalikan kepada setiap kerajaan negeri dan saya rasa ini satu perkongsian hasil yang baik apabila cukai ini dikutip oleh kerajaan persekutuan, kita berkongsi dengan negeri-negeri – 50% dan Pulau Pinang sebagai antara penyumbang tertinggi berkenaan dengan cukai pelancongan ini juga akan mendapat manfaat yang besar dalam pemulangan cukai pelancongan ini.
Di samping itu juga saya mengalu-alukan pengumuman bajet ini bahawa sebahagian besar dari levi pelepasan yang dikenakan kepada penumpang ke luar negara melalui pengangkutan udara akan diperuntukkan kepada projek infrastruktur pelancongan. Ini sejajar apabila kita berbahas di Dewan ini bahawa Rang Undang- undang Levi Pelepasan 2019 pada bulan Julai lalu, saya telah mencadangkan supaya apabila levi ini dikutip, perlu juga dilabur ke atas infrastruktur pelancongan dan produk pelancongan serta penambahbaikan. Oleh itu sukacita kita mendengar pengumuman bajet bahawa ini akan dilakukan.
Saya juga turut sangat gembira apabila terdapat pengumuman di bawah bajet ini bahawa RM100 juta diperuntukkan untuk sistem kereta kabel baru ke Bukit Bendera. Ini kawasan saya dan amat-amat memberangsangkan apabila saya balik kawasan semua disambut dengan baik dengan peruntukan RM100 juta.
Tuan Yang di-Pertua, 20 tahun lalu penumpang funicular train ke Bukit Bendera setiap tahun hanya lebih kurang 500 ribu penumpang sahaja. Tetapi pada tahun lalu, 2018 telah mencatatkan 1.7 juta penumpang yang menaiki train funicular ke Bukit Bendera.
Kita menjangkakan pada tahun 2019 ini akan mencecah ke angka RM2 juta untuk tahun 2019 ini. Ini merupakan empat kali ganda berbanding 20 tahun lalu. Oleh itu, merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan. Ini adalah hasil daripada pentadbiran yang baik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Perbadanan Bukit Bendera dengan pelbagai infrastruktur dan stesen di naik taraf menjadikan Bukit Bendera satu destinasi pelancongan yang terunggul di Pulau Pinang sebagai satu hill resort yang menarik dan begitu ramai yang akan datang.
Akan tetapi, walau bagaimanapun Tuan Yang di-Pertua, RM100 juta ini belum dapat menampung kos keseluruhan sistem cable car di Pulau Pinang. Kos tambahan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, saya juga ingin menunggu pengumuman bajet oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dijadualkan pada 1 November 2019 supaya Kerajaan Persekutuan mengeluarkan RM100 juta dan Kerajaan Negeri akan mengeluarkan yang selebihnya untuk melengkapkan satu sistem cable car yang baru ke kawasan Bukit Bendera. Seperti cable car yang dirancangkan oleh Perbadanan Bukit Bendera ini sebenarnya menggunakan teknologi yang baru dan bukan seperti membuat pembangunan besar-besaran seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Sik tadi. Saya rasa kita selalu akan - apabila Perbadanan Bukit Bendera memperkenalkan pengangkutan alternatif ini, ialah satu sistem pengangkutan yang mampan. Perlu diambil kira kemapanan dan sebagainya dan di samping itu menjaga alam sekitar
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membangkitkan isu Malaysia My Second Home (MM2H) yang masih tertunggak di Kementerian Dalam Negeri. Saya telah difahamkan oleh agen-agen MM2H ini bahawa one stop center oleh Kementerian Pelancongan telah memproses permohonan-permohonan MM2H mengikut masa yang ditetapkan. Akan tetapi, belum mendapat kelulusan Jawatankuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri. Saya meminta supaya SOP ini dipatuhi supaya pemohon- pemohon MM2H ini mendapat maklum balas dan jawapan pada masa yang ditetapkan.
Ini memandangkan bahawa program MM2H ini membawa pulangan ekonomi yang tinggi dan pelaburan yang tinggi kepada kita. Oleh itu, saya harap apabila kita memperelokkan industri pelancongan, program MM2H ini diberikan satu perhatian yang serius dan dipercepatkan proses permohonan supaya pemohon-pemohon boleh mendapat jawapan yang seawalnya.
Saya juga ingin meminta langkah-langkah yang lebih gigih untuk merangsang industri pelancongan dan perlu kerjasama antara beberapa kementerian untuk memperancakkan industri pelancongan. Maklumat seperti yang saya dapati daripada Buku Tinjauan Ekonomi, Economy Outlook 2020 ini bahawa di Malaysia buat masa ini terdapat 68 syarikat penerbangan menggunakan laluan ke Malaysia, 68 sahaja. Ini lebih rendah berbanding dengan 79 syarikat penerbangan antarabangsa yang menggunakan laluan ke Singapura ataupun 129 syarikat antarabangsa yang penerbangan yang landing di Thailand. Oleh itu, kita masih terdapat ruang yang besar kalau kita berbanding dengan Singapura dan Thailand, kita masih terbelakang.
Mengikut laporan Travel and Tourism Competitive Report 2019 menunjukkan Malaysia turun ke tangga 29 pada tahun 2018 berbanding di tangga 26 pada tahun 2017. Industri pelancongan masih belum mencapai potensi yang sepenuhnya.
Tuan Yang di-Pertua, di samping industri pembuatan perindustrian dan pelancongan, saya juga ingin membangkitkan tentang sektor kesihatan. Dalam bajet RUU Perbekalan 2020 ini, terdapat dua kementerian yang mendapat peruntukan yang amat tinggi iaitu Kementerian Pendidikan dari segi peruntukan yang tinggi untuk perkhidmatan. Di bawah Kementerian Pendidikan mendapat RM59 bilion dan juga Kementerian Kesihatan RM27 bilion iaitu Kementerian Pendidikan mendapat 34 peratus dan, Kementerian Kesihatan 16 peratus.
Kedua-dua Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan sudah 50 peratus untuk dari segi mencecah angka 50 peratus dari segi yang perkhidmatan. Oleh itu kita sebenarnya melabur besar dalam Kementerian Pendidikan. Kita juga menjadikan Kementerian Kesihatan satu prioriti untuk menjaga kebajikan rakyat. Saya meminta supaya satu kajian menyeluruh dilakukan, kerana saya dapati bahawa dan juga maklum balas masyarakat awam bahawa hospital-hospital awam di seluruh negara mempunyai satu masalah yang sama iaitu mempunyai long queue. Barisan yang panjang untuk berjumpa doktor, barisan yang panjang untuk mengambil ubat dan ini perlu diperbaiki.
Mengikut laporan Ketua Audit Negara 2018 menunjukkan bahawa antara 58.7 peratus hingga 74.15 peratus, pesakit dirawat di Jabatan Trauma dan Kecemasan hospital awam dalam tempoh kurang daripada empat hingga enam jam. Mereka perlu menunggu lama untuk berjumpa dengan doktor untuk menerima rawatan. Saya rasa perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana kita telah membuat pelaburan RM27 bilion di bawah Kementerian Kesihatan untuk pengurusan dan perkara-perkara berbaris panjang di hospital awam, sama ada berjumpa doktor ataupun di wad ataupun kecemasan ataupun ambil ubat dan sebagainya, perkara ini perlu kita gembleng tenaga untuk memperbaiki performance untuk di hospital awam.
Perkhidmatan kesihatan kita bukan sahaja bergantung kepada hospital awam, tetapi juga klinik kesihatan dan juga hospital-hospital swasta. Di bawah pengumuman bajet ini turut mengumumkan Tahun 2020 sebagai Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia, Medical Tourism. Tuan Yang di-Pertua, di samping kesihatan tadi saya ada sebut. Tahun 2020 Medical Tourism, Tahun Pelancongan Kesihatan. Oleh itu, saya meminta supaya kerajaan lihat balik bagaimana hospital-hospital swasta, Medical Tourism ini boleh mengadakan satu cara untuk cross subsidies supaya membawa kebaikan kepada rakyat jelata. Bagaimana untuk berkongsi peralatan dan sebagainya. Walaupun kita promoting Medical Tourism, kita boleh mencari ikhtiar dari segi pengurusan private hospital untuk mengurangkan masa menunggu yang panjang di hospital-hospital awam untuk operasi dan juga berubat
Saya turut alu-alukan perluasan mySalam program, dan PeKa B40 yang akan membawa kebaikan kepada individu- individu. Saya juga menyambut baik berita baik daripada segi pengangkutan apabila jambatan kedua Pulau Pinang diumumkan tambang tolnya diturunkan daripada RM8.50 kepada RM7. Ini pengumuman yang baik. Dan walaupun tiada pengumuman untuk Pelan Pengangkutan Pulau Pinang- Penang Transport Master Plan untuk bajet ini, saya berharap Penang Transport Master Plan ini yang dapat menyumbang kepada pembangunan yang rancak, dan juga pengurusan lalu lintas yang mampan di Pulau Pinang ini dapat dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan bermula tahun 2021. Itu permohonan saya. Dan saya menghargai segala apa yang disebut dalam bajet ini, satu bajet yang mesra rakyat, yang selalu menjaga kebajikan rakyat, dan saya menyokong bajet ini.